
Sinopsis
Menjadi anak kepada isteri kedua seorang lelaki yang penuh kasih sayang begitu sukar buat Aireen Marsya. Kehidupannya seolah-olah seperti seorang pelarian yang menumpang teduh bermula apabila ibunya meninggal dunia dan dia dibawa tinggal sebumbung dengan isteri pertama ayahnya. Dibenci dan dicemuh oleh ibu tirinya namun dia masih tersenyum. Dia masih ceria. Masih kekal nampak kuat di mata semua orang. Namun dia juga nekad, dia perlu pergi. Pergi jauh demi menjaga hatinya sendiri. Demi masa depan sendiri. Demi mahu hidup bangkit dengan kaki sendiri.
Diterima menjadi salah seorang pelajar di university pilihannya di Australia, negeri kangaroo itu merupakan satu titik tolak hidupnya. Dia mampu untuk bernafas dengan lebih tenang dan bahagia biar pun hati merintih terpaksa berpisah beribu batu jauhnya dengan ayah yang tercinta. Seperti tekadnya, dia perlu pandai menjaga diri sendiri. Segala usahanya adalah dari keringatnya sendiri. Sedar diri yang dia bukanlah dari keluarga yang senang malah tidak dingini, Aireen hidup berdikari. Menjadi seorang pekerja separuh masa sebagai pelayan kafe di salah sebuah coffee bean di Bandar Sydney.
Siapa sangka, di bumi Australia Aireen menemui cintanya. Walaupun berada di dalam keturunan keluarga yang hanya biasa-biasa sahaja dia mampu untuk memiliki cinta seorang lelaki yang cukup sempurna serba-serbi. Seorang lelaki yang mempunyai rupa paras yang menjadi dambaan gadis-gadis. Latar belakang keluarga yang bukan calang-calang. Cukuplah dengan pangkal nama Syed yang dibawanya, pastinya orang sudah tahu siapa dia. Dia, Syed Karl Zaquan. Seorang anak lelaki yang bakal mewarisi perniagaan automobile keluarganya. Malah, Karl langsung tidak kisah dengan latar belakang keluarga Aireen. Bagi Karl, Aireen sudah cukup sempurna dan layak memegang gelaran isteri untuknya.
Namun, kebahagiaan yang dimiliki oleh Aireen dimusnahkan dengan kecurangan yang berlaku di depan matanya sendiri. Karl tidak seperti yang dia sangkakan. Benar, cintanya untuk Aireen tetapi perangai suka berpoya-poya dengan perempuan sukar untuk Karl buang. Sangkanya, Aireen yang polos tidak akan tahu tembelangnya namun jangkaannya meleset.
Aireen nekad. Hubungan mereka perlu diakhiri kerana Aireen tidak mahu kesilapan ayah dan ibunya bakal berlaku di dalam hidupnya pula sehinggakan menyakiti hati-hati orang lain. Kecurangan tidak boleh dimaafkan. Kecurangan merupakan kanser di dalam satu perhubungan. Maka, peluang langsung tidak diberikan kepada Karl walau puas dipujuk rayu dan dijanjikan bermacam-macam.
Kehadiran seorang lelaki segak di dalam gaya korporatnya pada suatu hari di kafe tempat Aireen bekerja sekali lagi telah merubah warna hidup Aireen. Lelaki yang bagi Aireen terlalu misteri kerana sangat dingin karakternya ketika di kafe namun berbeza pula ketika berjumpa dengan Aireen jika di luar sehinggakan Aireen sendiri keliru jika mereka adalah orang yang sama atau tidak lantas Aireen menganggap lelaki di kafe merupakan lelaki yang berbeza. Tidak sama dengan lelaki yang telah menyelamatkan Aireen di jalan raya dan yang sering menunggunya di lorong belakang kafe. Dia. Tengku Rifdi Aneeq namun hanya mengenalkan dirinya sebagai Rifdi sahaja.
Snow white. Itu adalah gelaran yang Rifdi berikan kepada Aireen memandangkan Aireen yang persis watak kartun itu. Rambutnya hitam pekat dan berkilat separas tengkuk, sepasang mata yang bulat, kulitnya putih dan kemerah-merahan dan bibir mungilnya merah bak delima. Suka mengunyah epal membuatkan ciri-ciri itu tepat seperti apa yang digambarkan oleh Rifdi pada Aireen.
Menjadi semakin rapat apabila Rifdi sentiasa ada untuk Aireen bila Aireen memerlukan seseorang ketika hatinya masih kecewa. Sehingga akhirnya Rifdi tanpa ragu-ragu meluahkan isi hatinya dan meminta Aireen agar bertemu dengannya di Mt Keira Lookout Point jika Aireen menerima cintanya. Tanpa Rifdi sendiri tahu, Aireen sebenarnya mahu menerima namun belum sempat menyambut, satu tragedy hitam terlebih dahulu meragut jiwa Aireen.
Di bumi Australia itu Aireen mengecapi rasa cinta dan di bumi kangaroo itu jugalah cintanya dibunuh sehingga meninggalkan tragedi yang paling kelam di dalam hidupnya. Karl yang tidak dapat menerima penolakan Aireen telah bertindak kejam merogol Aireen di rumah sewanya dan Karl terus sahaja pulang ke Malaysia tanpa mengambil tahu apa yang terjadi dengan Aireen selepas itu.
Maka, impian Aireen untuk memberi peluang kepada cinta yang baru semuanya musnah. Janjinya pada Rifdi dimungkiri.
Selepas dua tahun dari tragedi hitam itu dan berjaya untuk meneruskan hidupnya dengan semangat yang diberikan oleh sahabat baiknya, Ili, Aireen akhirnya pulang ke Malaysia. Pulang ke tanah air, semangat Aireen masih utuh. Masih kuat untuk meneruskan hidup namun sekali lagi dia diuji. Segala kisahnya di bumi kangaroo kembali mengejarnya.
Agak misteri apabila tiba-tiba sahaja Aireen mendapat panggilan untuk melakukan intershipnya di salah sebuah syarikat kereta walaupun seingat Aireen, dia tidak pernah pun memohon namun tetap diterima memandangkan itu merupakan peluang keemasannya untuk sekali lagi pergi jauh dari mata ibu tirinya Makcik Faridah.
Siapa sangka, syarikat untuk Aireen melaksanakan internshipnya merupakan syarikat yang sama Rifdi mencari rezeki. Berjumpa semula Rifdi di dalam pakaian bengkelnya hubungan mereka kembali disambung namun hanya sebagai kawan seperti permintaan Aireen. Senang dengan peribadi Rifdi, Aireen semakin terjatuh suka dengan Rifdi namun dengan apa yang sudah menimpanya, Aireen menahan dirinya dari terus menyimpan hati.
Misteri tentang CEO yang dirahsiakan dari pengetahuan Aireen semakin menyesakkan Aireen. Lelaki itu hanya didengar suaranya melalui telefon sahaja tanpa melihat wajahnya sangat menghairankan Aireen. Malah, satu kenyataan paling besar yang menyentak hati Aireen adalah, syarikat Mega Auto itu sendiri merupakan perniagaan milik keluarga Karl. Karl sendiri yang memegang jawatan COO di syarikat itu tidak tahu tentang kewujudan Aireen di situ. Sangka Aireen, dia tidak akan langsung bertemu dengan orang yang telah merosakkan hidupnya namun tidak. Malah, entah kegilaan apa syarikat yang sama juga.
Akhirnya segala-galanya terbongkar. CEO yang menjadi misteri selama Aireen di situ merupakan Rifdi Aneeq sendiri atau nama sebenarnya Tengku Rifdi Aneeq setelah Rifdi sendiri menjelaskan identiti sebenar dirinya pada Aireen. Malah Rifdi mempunyai hubungan dengan keluarga Karl iaitu Syed Zuhri dan Syarifah Kirana.
Berhadapan dengan dua kenyataan besar itu benar-benar menyesakkan Aireen. Pelbagai cara untuk Aireen menjauhi mereka namun satu per satu halangan yang datang sehingga benar-benar melelahkan Aireen.
Di antara kisah kelam yang menuntut sebuah kemaafan dan di antara janji yang telah dimungkiri, yang mana satu bakal dimenangkan oleh Aireen Marsya? Pilih di antara salah satunya dan terus menjeruk rasa atau pergi membiarkan sahaja pilihan yang ada? Aib yang disimpan kemas selama ini bakal dibongkarkan atau perlu terus disimpan?
Bila hati kuat memilih Rifdi, sekali lagi hubungannya diuji. Aibnya dibuka oleh adiknya sendiri iaitu Najwa akibat diracun oleh Karl yang ketika itu masih menyimpan dendamnya terhadap Rifdi dan Aireen. Sekali lagi, hubungan mereka dilanda badai. Hakikat tentang identiti perogol yang baru diketahui oleh Rifdi yang selama ini disimpan kemas oleh Aireen terbongkar. Sukar bagi Rifdi, disaat hubungan Rifdi, Aireen dan Karl baru hendak berbaik diuji dengan hakikat yang satu ini.
Karl yang mulanya berniat jahat mahu memisahkan Aireen dan Rifdi tidak menyangka yang hasutannya tentang keburukan Aireen memakan dirinya ketika dia sedang berusaha untuk mengubah dirinya. Hancur usahanya bila Rifdi tidak boleh menerima kesalahannya sehinggakan melukakan hati Aireen yang pergi membawa diri kembali ke bumi Australia. Sejak itu, Karl sendiri tekad akan melakukan apa sahaja demi sebuah kemaafan dari Rifdi dan Aireen. Pengorbanan besar yang dia lakukan akhirnya berjaya menjernihkan semula hubungan mereka bertiga.



